ARTIKEL ASAL DI SINI: W WORLD ASIA - TAIWAN DIPENUHI RESTORAN HALAL
“Good company in a journey makes the way seem shorter.” — English writer Izaak Walton
Begitulah kembara saya ke Taiwan 13 Disember lalu. Enam hari empat malam di sana terasa begitu singkat. Seronok tidak terhingga walhal ketika hari berlepas pun saya masih belum kenalmedia lain yang turut sama menyertai. Hanya beberapa jam sebelum berlepas saya bertemu mereka, ketika kami sama-sama berkumpul di KLIA. Teman-teman media lain adalah dari akhbar Kosmo, Utusan Malaysia, Harian Metro dan majalah Santai. Selain media, dua selebriti iaitu pengacara tv terkenal Maria Tunku Sabri dan deejay radio Bernama, Raifa Zulkifli juga bersama kami ke Taiwan.
Kembara kami ini dianjurkan oleh syarikat pelancongan Ziarah Harmoni dengan kerjasama Malaysian Harmony Tour & Travel dan Lembaga Pelancongan Taiwan.
Turut sama menyertai kami adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Yuhaini Yusoff, Pengurus Pembangunan Korporat dan Kewangan ITC, Azlan Othman, Pengurus Bahagian Muslim Ziarah Harmoni, Murni Zainudin. Lebih istimewa, selama di sana, kami diiringi oleh Mr. Tony Wu Pengarah Lembaga Pelancongan Taiwan.
Selain untuk menikmati keindahan Taiwan, tujuan kembara kami ini juga bertujuan menikmati pelancongan gaya muslim kerana Taiwan kini dipenuhi puluhan restoran makanan halal.
Malah, sebaik saja sampai di Taiwan kami sudah dibawa menjamu selera di restoran halal yang terletak di Taoyuan City Suites Gateway Hotel. Penuh satu meja dihidangkan makanan, tidak termasuk silih berganti makanan lain yang dihantar oleh pelayan. Menunya hampir sama seperti di restoran China-Muslim di Malaysia, ada nasi pulut dengan udang geragau, juga makanan laut dan darat yang lain. Paling sedap, pencuci mulutnya, mangga muda bercampur ais kisar.
Hari kedua, selepas melawat Chiang Kai-shek Memorial Hall, kami ke Restoran Bismilla yang terletak di tengah bandar Teipei. Di restoran ini, kami dijamu makanan tempatan Taiwan iaitu mi daging (atau mee tarik), dim sum dan beberapa jenis savoury, kerabu dan urap. Mee daging seakan mee sup di sini tetapi kurang pedas. Mee yang digunakan lebih tebal dan kenyal dan ia dihasilkan sendiri oleh tukang masak.
Hari-hari seterusnya, berselang seli antara lawatan contohnya Taipei 101, National Palace Museum dan Danshui Fisherman Wharf, kami juga dibawa sama ada makan tengahari dan makan malam di restoran halal.
Safronbolu Turkish Restaurant
Restoran halal lain yang kami kunjungi adalah Tai Xiang Yun Halal Bismillah Restaurant dan Yunus Halal Restaurant yang terletak di Songshan District, Taipei. Kedua-dua restoran ini menghidangkan gabungan makanan Thailand dan China. Bubur pulut hitam juga turut dihidangkan membuatkan kami rasa seperti berada di Malaysia.
Restoran Turki iaitu Safronbolu Turkish Restaurant yang terletak di Zhongshan District, Taipei dan restoran Morocco Tajin Moroccan Restaurant di Keelung Road juga kami kunjungi.
Kami juga berpeluang menjamu makanan halal Timur Tengah kala berkunjung ke taman tema, Leofoo Village Theme Park di Guanshi Town, juga ketika menginap di hotel Yilan Shangrila Leisure Farm yang terletak di kawasan bukit bukai di Dongshan Township, Yilan County.
Restoran halal yang menghidangkan steamboat di daerah Yilan juga menjadi lokasi kami menjamu selera. Restoran tersebut menghidangkan makanan laut dan sayuran segar bersama sup dan dihidangkan dengan semangkuk nasi dan pelbagai jenis sos.
Menurut Tony Wu, terdapat 100 restoran atau kedai makan yang menghidangkan masakan halal, sekaligus memudahkan pelancong dari Malaysia khususnya umat Islam untuk berkunjung ke Taiwan dan menikmati pelbagai hidangan halal. Bukan itu saja, hampir setiap restoran, termasuk hotel-hotel di sini menyediakan penanda arah kiblat contohnya Atami Hotel Taipei Onsen yang merupakan salah satu tempat penginapan kami dan Tai Xiang Yun Halal Bismilla Restaurant dan Yunus Halal Restaurant yang menyediakan bilik sembahyang. Sijil halal turut dipamerkan oleh pengusaha sama ada di dalam atau di luar restoran.
Jadi jika ke Taiwan tidak perlu lagi mengikat perut, tidak perlu juga membawa bekalan makanan seperti serunding dan mee segera kerana begitu mudah mencari restoran halal yang terletak di hampir setiap pelusuk bandar Teipei dan kawasan-kawasan lain di Taiwan.
Wow, artikel yang sangat menarik, coba kalian cari tahu juga, Istilah Dalam Asuransi sebelum kalian beli produk asuransi
ReplyDelete